Senin, 13 Jumadil Awwal 1446 H / 6 Juli 2009 11:32 wib
5.478 views
Himpunan mansuh ISA , 1 Ogos, sasar 200,000 orang
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Walaupun diberi masa hanya sepuluh minit oleh pihak polis bagi mengadakan sidang media, ia tidak menghalang Sekretariat Himpunan MANSUH untuk menyeru seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat agar menyertai himpunan raksasa menuntut dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadualkan 1 Ogos akan datang.
Himpunan itu dijangka dapat menarik sehingga 200,000 orang untuk mendesak pihak kerajaan memansuhkan akta yang dikenali zalim dan tidak berperikemanusiaan itu.
Sidang media yang diadakan di hadapan kompleks membeli belah SOGO kelmarin disertai Pengerusi Sekretariat Himpunan MANSUH, Syed Ibrahim Syed Noh, Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan MANSUH, Kamaruzaman Mohamad yang juga Setiausaha Pemuda PAS Pusat serta Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Sani Hamzan.
Sebelum sidang akhbar dimulakan, Kamaruzzaman menggunakan pembesar suara untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai program mereka. Bagaimanapun, seorang pegawai polis menghampirinya dan meminta beliau jangan menggunakan pembesar suara tersebut.
"Hanya sepuluh minit sahaja," katanya kepada pegawai polis berkenaan. Namun pegawai polis tersebut tetap meminta beliau tidak menggunakan pembesar suara. Justeru beliau akur dengan arahan tersebut dan sidang media tetap diteruskan walaupun tanpa menggunakan pembesar suara.
Kelihatan kira-kira 30 orang anggota polis berpakaian seragam memantau keadaan di situ. Selain kehadiran jurugambar dan wartawan, sidang akhbar tersebut turut mendapat perhatian orang ramai yang berada di sekitar pusat membeli belah tersebut.
Dalam sidang media tersebut, Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menegaskan 1 Ogos dipilih sebagai tarikh untuk mengadakan himpunan tersebut sempena 49 tahun akta rimba tersebut digubal.
Jelas Syed Ibrahim, selain menggesa supaya ISA dimansuhkan, melalui himpunan tersebut satu mesej yang jelas akan disampai oleh rakyat menuntut kerajaan membebaskan semua tahanan ISA dan menutup Kem Tahanan Kamunting.
Beliau menegaskan undang-undang yang menahan individu tanpa bicara tidak sepatutnya wujud dalam sebuah negara demokrasi di Malaysia.
"Kerajaan telah menyatakan akan mengkaji semula ISA. Dato Seri Najib Tun Razak juga sewaktu dilantik sebagai Perdana Menteri mengumumkan pembebasan beberapa orang tahanan. Namun masih berlaku penahanan terbaru pada 25 Jun lalu di mana tiga orang ditahan di bawah ISA dan ia turut disahkan oleh Ketua Polis Negara.
"Dan penahanan ini tidak diumumkan kepada media dan juga kepada rakyat. Inilah hakikat ISA iaitu "Ikut Suka Aku". Apabila mereka melihat ada kepentingan, mereka akan umumkan kepada rakyat mengenai pembebasan. Tetapi apabila berlaku penahanan, perkara ini tidak dihebahkan. Dan yang menjadi mangsa adalah tahanan yang tidak dapat membela diri mereka. Keluarga mereka juga menjadi mangsa kerana tidak dimaklumkan mengenai penahanan serta kesalahan yang dilakukan. Dan yang menjadi mangsa keseluruhannya ialah sistem demokrasi dan keadilan di negara ini," tegasnya.
Sementara itu, Mohd Sani bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa golongan muda agar turun memberi sokongan kepada perhimpunan tersebut agar akta "jakun" dan tidak bertamadun itu dapat dimansuhkan.
Kamaruzzaman pula menyatakan, kehadiran semua lapisan masyarakat dalam perhimpunan tersebut juga bagi mendesak kerajaan menghapusakan semua akta yang jelas bertentangan dengan perlembagaan serta menyekat kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara.
Jelasnya, pihaknya mensasarkan perhimpunan tersebut mampu menarik 150,000 hingga 200,000 orang.
Sebaik sahaja sidang media tersebut berakhir, Sekretariat Himpunan MANSUH mengedarkan risalah mengenai himpunan tersebut kepada orang ramai di sekitar pusat membeli belah tersebut dan kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahaman dan Masjid India.
Difahamkan tiada sebarang gangguan daripada pihak polis serta sebarang kejadian yang tidak diingini sewaktu risalah tersebut diedarkan. _
Sebarkan informasi ini, semoga menjadi amal sholeh kita!